MAJLIS SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA
NEGERI KELANTAN

Peraturan dan Undang-undang Pertandingan
Peraturan Pertandingan Sirkit Tunas Bola sepak

PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG PERTANDINGAN
BOLA SEPAK 12, 15 DAN 18 TAHUN


    1. NAMA

        1.1 Pertandingan ini dinamakan Pertandingan Bola Sepak 12, 15 dan 18 Tahun.


   2. ANJURAN

       2.1 Pertandingan ini dianjurkan oleh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Negeri Kelantan.


   3. PENGELOLAAN.

       3.1 Pertandingan ini dikelolakan oleh Jawantankuasa Teknik Bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Negeri Kelantan yang selepas ini dinamakan Jawatankuasa Pengelola Pertandingan.


   4. UNDANG-UNDANG PERMAINAN.

       4.1 Selain dari peraturan yang terkandung, maka pertandingan ini dijalankan mengikut Undang-undang permainan bola sepak sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kesatuan Persatuan-Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

       4.2 Undang-Undang permainan bagi 12 Tahun adalah sebagaimana yang berkuatkuasa (4.1) diatas melainkan :-

              a) Undang-undang I (Ukuran Padang / Gol)
                  Panjang : 75 m - 85 m
                  Lebar Padang : 55 m - 65 m
                  Kawasan Gol : 4.57 m x 15.54 m
                  Kawasan Penalti : 33.84 m x 13.7 m
                 Jarak Tendangan Penalti : 9.14 m / 10 ela
                 Tinggi Gol : 2.13 m / 7 kaki
                 Lebar Gol : 6.40 m / 7 ela
                 Saiz Tiang Gol : 4in x 4in
                 Bulatan Tengah Padang /
                 Lingkungan Kawasan Penalti : 7.32 m (Jejari)


             b) Undang-undang II (Bola)

                 Saiz 4

       4.3 Kejadian di luar dugaan dan tidak dinyatakan dalam peraturan berkenaan akan diputuskan seperti berikut :-

             4.3.1 Semua kejadian am akan diputuskan berasas kepada PERATURAN AM MAJLIS SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA NEGERI KELANTAN DAN MAJLIS SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA.

             4.3.2 Sebarang persoalan teknikal akan diputuskan berasas kepada undang-undang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

       4.4 Keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengelola Pertandingan adalah muktamad.


   5. PENYERTAAN.

       5.1 Pasukan yang menyertai pertandingan ini adalah satu pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan Daerah iaitu :

             5.1.1 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan Kota Bharu.

             5.1.2 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan Pasir Mas / Tumpat.

             5.1.3 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan Tanah Merah / Machang / Jeli.

             5.1.4 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan Kuala Krai / Gua Musang.

             5.1.5 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan Pasir Puteh / Bachok.

       5.2 MSSK Daerah yang menyertai pertandingan ini hanya boleh mendaftar satu pasukan sahaja bagi setiap kategori yang disertai.

       5.3 Jawatankuasa Pengelola Pertandingan akan menguruskan pendaftaran pemain. Borang Pendaftaran serta Borang Biodata Pemain (bertaip) mesti dihantar  kepada Setiausaha Pengelola Pertandingan semasa mesyuarat pengurus-pengurus pasukan pada tarikh yang akan ditetapkan.


   6. KELAYAKAN PEMAIN.

       6.1 Seorang pemain terdiri dari pelajar sekolah dan rakyat Malaysia yang belajar di Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan atau sekolah-sekolah yang bergabung dengan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Kelantan sahaja layak mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

       6.2 Seorang pemain yang telah didaftar dan bermain dalam satu pasukan dalam pertandingan ini tidak layak lagi mewakili pasukan lain dalam siri pertandingan yang sama.

       6.3 Salinan Surat Beranak yang disahkan oleh Guru Besar sekolah berkenaan (12 Tahun sahaja) / Kad Pengenalan dan dokumen JPN 1 / 9 dan JPN 1 / 11 (yang disah atau dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara) boleh diterima pakai sebagai bukti umur. Semua dokumen akan diperiksa oleh Jawatankuasa yang dilantik oleh Jawatankuasa Pengelola Pertandingan sebelum bermulanya setiap pertandingan.

       6.4 Sebarang pertelingkahan atas hak atau status mana-mana pemain akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengelola Pertandingan dan keputusannya adalah muktamad.

       6.5 Kelayakan umur pemain, adalah seperti berikut :

             6.5.1 12 Tahun - Dilahirkan pada atau selepas tahun 1991.

             6.5.2 15 Tahun - Dilahirkan pada atau selepas tahun 1988.

             6.5.3 18 Tahun - Dilahirkan pada atau selepas tahun 1985.

   7. PENDAFTARAN PEMAIN DAN PEGAWAI PASUKAN.

       7.1 Hanya pemain-pemain yang berdaftar dalam Borang Pendaftaran sahaja boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

       7.2 Setiap pasukan hendaklah mengandungi 18 pemain dan 4 pegawai.

       7.3 Borang Pendaftaran yang disahkan oleh Pegawai Pendidikan Daerah berkenaan hendaklah diserahkan kepada Setiausaha Pengelola Pertandingan pada  tarikh yang ditetapkan.

       7.4 Pemain yang disenaraikan dalam Borang Perlawanan ( Start List), 11 pemain ialah pemain utama dan bakinya (7 pemain) ialah pemain simpanan. Penyenaraian itu adalah sama seperti yang didaftarkan dalam Borang Pendaftaran.

       7.5 Sebarang perubahan pada pendaftaran asal pemain perlu disertakan dengan wang pembayaran sebanyak RM30.00 bagi setiap pemain.

       7.6 Dua set warna jersi berlainan hendaklah didaftarkan semasa mesyuarat Pengurus Pasukan. Nombor jersi hendaklah sama dengan pendaftaran rasmi pemain dan berukuran tidak kurang dari 10 inci di belakang dan tidak kurang dari 3 inci di hadapan jersi (dada). Sekiranya dua pasukan yang bertemu itu memakai jersi yang sama, pasukan tuan rumah perlawanan yang mesti menukar jersi yang berlainan warna.
 


   8. SISTEM PERTANDINGAN.

       8.1 Perlawanan dijalankan secara Liga Dalam Kumpulan.

       8.2 Jawatankuasa Pengelola Pertandingan akan menentukan jadual perlawanan, tempat perlawanan dan pasukan lawan akan ditentukan secara undian.

       8.3 Pasukan yang disebut dahulu dalam jadual perlawanan akan diambilkira sebagai pasukan tuan rumah perlawanan.

       8.4 Johan dan naib johan liga akan bertanding di pertandingan akhir untuk menentukan johan dan naib johan.

       8.5 Tempat ketiga dan keempat akan diisytiharkan sebagai pemenang ketiga dan keempat dalam pertandingan liga tersebut.


   9. CARA MENENTUKAN KEMENANGAN

       9.1 Undang-undang permainan liga digunapakai dalam pertandingan ini. Tiga (3) mata diberi kepada pemenang, satu (1) mata untuk keputusan seri dan kosong (0) mata kepada yang kalah.

       9.2 Sekiranya mana-mana pasukan gagal bermain atau tidak datang atau melapor diri lewat dari 10 minit selepas waktu pertandingan yang diisytiharkan dalam Jadual Pertandingan, maka pasukan yang hadir dengan cukup bilangan pemain iaitu sekurang-kurangnya 10 pemain akan diberi kemenangan percuma, dengan memperolehi 3 mata dan 2 jaringan gol.

       9.3 Jika terdapat pasukan menarik diri daripada mengambil bahagian dalam siri perlawanan ini setelah jadual perlawanan dikeluarkan dengan apa sebab jua pun, mata dan jaringan gol yang masuk atau kena dalam semua perlawanan yang dimainkan olehnya tidak diambilkira. Pegawai dan pemain pasukan akan diambil tindakan.

       9.4 Setelah selesai semua perlawanan liga, dua atau lebih pasukan telah mengutip mata yang sama, maka perbezaan gol akan menjadi penentu iaitu pasukan yang mempunyai PERBEZAAN GOL terbesar iaitu jaringan gol "MASUK" ditolak jaringan gol "KENA" hendaklah menduduki tempat yang lebih tinggi. Jika masih seri, maka JUMLAH JARINGAN GOL akan diambil kira sebagai pemenang dan menduduki kedudukan yang lebih tinggi. Jika masih lagi seri pasukan YANG PERNAH MENGALAHKAN pasukan lawan akan dikira pemenang dan menduduki tempat yang lebih tinggi. Jika masih lagi seri, kedudukan seri itu mesti diputuskan dengan lambungan syiling dan keputusannya adalah muktamad.


   10. JANGKAMASA PERLAWANAN.

         10.1 12 Tahun : Masa permainan ialah 30 minit bagi setiap separuh masa, dengan masa rehat tidak melebihi 10 minit dengan keizinan pengadil.

         10.2 15 Tahun : Masa permainan ialah 35 minit bagi setiap separuh masa, dengan masa rehat tidak melebihi 10 minit dengan keizinan pengadil.

         10.3 18 Tahun : Masa permainan ialah 40 minit bagi setiap separuh masa, dengan masa rehat tidak melebihi 10 minit dengan keizinan pengadil.

         10.4 Bagi perlawanan akhir, jika perlawanan berkesudahan seri bagi masa penuh perlawanan, tendangan dari tanda penalti dijalankan mengikut undang- undang yang dikuatkuasakan.

   11. PENGGANTIAN PEMAIN.

        11.1 Tujuh (7) pemain yang didaftarkan dalam Borang Perlawanan (Start List) bagi perlawanan tersebut boleh diganti bila-bila masa termasuk dalam masa tambahan dan semasa tendangan dari tanda penalti. Mana-mana pemain yang ditukar tidak dibenar bermain semula dalam perlawanan yang sama  termasuk tendangan dari tanda penalti.

   12. PAKAIAN PEMAIN.

        12.1 Semua pemain mesti memakai jersi seperti yang didaftar, dengan nombornya mengikut nama pemain tersebut. Sebarang pameran pengiklanan jenama rokok, minuman keras dan lambang parti politik tidak dibenarkan.
 

        12.2 Kasut bola / 'boots' mesti mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Semua pemain mesti menggunakan alas betis / 'shin-guard'.

        12.3 Ketua pasukan mesti memakai lilitan lengan, dan sekiranya digantikan lilitan lengan itu mesti diberi kepada pemain lain yang mengambil alih tugasnya.


   13. MINUMAN PEMAIN

        13.1 Minuman pemain disediakan oleh pasukan masing-masing.


   14. PERLAWANAN YANG DITUNDA ATAU DIHENTIKAN.

        14.1 Sekiranya pengadil berpendapat bahawa padang tidak sesuai disebabkan oleh cuaca atau kerana hal-hal yang tidak dijangka atau perlawanan dihentikan akibat hal-hal luar kawalan kedua-dua pasukan, maka perlawanan tersebut akan dimainkan semula pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengelola Pertandingan.


   15. TINDAKAN TATATERTIB.

         15.1 Jawatankuasa Tatatertib Pertandingan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Negeri Kelantan akan membincang perkara-perkara yang berlaku setelah menerima aduan bertulis daripada pengadil bertugas dan pasukan-pasukan yang terlibat. Pasukan yang buat aduan dan pengadil  bertugas tidak boleh mengambil bahagian dalam perbincangan dan undian semasa perkara berkenaan sedang dipertimbangkan.

         15.2 Untuk kesalahan berikut Jawatankuasa Tatatertib tidak akan bersidang dan hukumannya adalah otomatis :

                15.2.1 Seseorang pemain yang diperintah keluar padang kerana kesalahan teknikal (penggantungan 1 perlawanan).

                15.2.2 Seseorang pemain yang diperintah keluar padang kerana bermain amat kasar (penggantungan 2 perlawanan).

                15.2.3 Seseorang pemain yang diperintahkan keluar padang kerana mengeluarkan kata-kata kesat / lucah atau menunjukkan isyarat tidak tertib atau  berkelakuan ganas dengan tidak mengira beliau menerima amaran sebelum itu atau tidak. (penggantungan 3 perlawanan).

                15.2.4 Seseorang pemain diperintah keluar padang kerana melanggar keputusan pegawai pertandingan. (penggantungan 3 perlawanan).

                15.2.5 Mana-mana pemain yang menerima 2 amaran dalam masa pertandingan hendaklah dengan sendirinya digantung bermain bagi perlawanan selepas perlawanan yang diterima amaran kedua. Apabila seorang pemain menerima 2 lagi amaran selepas menjalankan penggantungan satu perlawanan, akan sekali lagi digantung untuk satu perlawanan selepas perlawanan yang diterima amaran kedua. Apabila seorang pemain menerima amaran keenam beliau hendaklah tampil ke hadapan Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan yang sewajarnya.

        15.3 Jawatankuasa Tatatertib boleh menggantung seseorang pemain daripada terus mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Jika tindakan yang lebih keras dianggap perlu maka Jawatankuasa Pengelola Pertandingan perlu dimaklumkan dan apa jua tindakan adalah tanggungjawab Jawatankuasa Tatatertib Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Negeri Kelantan.

        15.4 Keputusan Jawatankuasa Tatatertib adalah muktamad.


   16. BANTAHAN.

         16.1 Sebarang bantahan mestilah dibuat secara bertulis oleh Pegawai Pasukan yang berdaftar kepada Setiausaha Pengelola Pertandingan dan mesti diterima dalam masa 30 minit selepas perlawanan berkenaan berserta bayaran RM100.00.(Ringgit: Satu Ratus sahaja). Wang tersebut tidak akan kembalikan jika didapati bantahan tersebut tidak berjaya.

         16.2 Bantahan tidak boleh dibuat terhadap keputusan mengenai perkara-perkara dan fakta yang dibuat oleh pengadil di padang permainan.

   17. ETIKA PEGAWAI

         17.1 Pengurus pasukan hendaklah bertanggungjawab memastikan setiap pegawai dan pemain termasuk penyokong berpegang teguh kepada etika dan tingkahlaku yang dihormati berdasarkan semangat sukan yang tulin.

        17.2 Tertakluk kepada pengesahan oleh Jawatankuasa Pengelola Pertandingan. Jawatankuasa Pengelola Pertandingan boleh mengambil sebarang tindakan yang bersesuaian terhadap mana-mana pemain, pegawai yang bertindak tidak mengikut peraturan pertandingan atau objektif pertandingan ini keseluruhannya, dan tindakan ini mungkin meliputi hal-hal seperti penggantungan mana-mana pasukan, pemain, atau pegawai dari apa-apa penglibatan bagi sebarang jangkamasa yang ditimbang sesuai.
 

        17.3 Sebarang penipuan dalam hal pendaftaran pemain samada sengaja atau tidak adalah dianggap sebagai kesalahan berat dan bertentangan dengan etika permainan bola sepak.

        17.4 Tindakan memprotes sebarang keputusan dengan tindakan keluar padang permainan adalah juga sebagai satu kesalahan berat dan bertentangan dengan etika permainan bola sepak.


   18. HAL-HAL YANG TIDAK DIPERUNTUKKAN.

        18.1 Segala hal yang diperuntukkan dibawah peraturan ini dan segala tafsiran peraturan ini hendaklah diselanggarakan oleh Jawatankuasa Pengelola  Pertandingan yang keputusannya adalah muktamad, kecuali diputuskan selainnya oleh Jawatankuasa Induk Pengelola Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Negeri Kelantan.

Disediakan oleh:
Jawatankuasa Teknik dan Pembangunan Bolasepak
Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia
Negeri Kelantan 2003.

atas

MAJLIS SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH KELANTAN
PERATURAN PERTANDINGAN SIRKIT TUNAS BOLA SEPAK
F&N/MSSM TAHUN 2003

   1.         Pertandingan ini dinamakan Pertandingan Sirkit Tunas Bola Sepak F&N/MSSM.

 

   2.         Pertandingan ini dikelolakan oleh Jawatankuasa Pengelola Peringkat Daerah / Negeri.

 

   3.         Pertandingan mengikut undang-undang FIFA / FAM tetapi terdapat beberapa pindaan untuk kesesuaian Sirkit Tunas Bola Sepak.

 

   4.         Pertandingan                         :           4 Vs 4

 

               Luas Kawasan                      :           20 m     x   30 m

 

               Gol                                          :           Bersamaan ukuran gol bola baling / hoki

 

   5.         Kelayakan pemain                :       Umur 12 tahun - Lahir 1991

Umur 11 tahun - Lahir 1992.

Umur 10 tahun - Lahir 1993.

 

   6.         Satu (1) pasukan mengandungi 5 pemain sahaja. Pendaftaran terbuka dan pemain-pemain boleh berubah setiap sirkit.

 

   7.         Pertukaran secara sentuhan tangan bila-bila masa semasa permainan tanpa had dan pemain gantian berada
di tepi garisan  tengah padang bersama pegawai bertugas.   

 

   8.         Masa permainan 5 minit – 1 minit – 5 minit.

 

   9.         Jurulatih tidak dibenarkan memberi arahan ketika permainan berlangsung.          

 

   10.       Sepakan ke dalam menggantikan lontaran ke dalam dari atas garisan tepi.

              Gol TIDAK dikira jika jaringan dari sepakan ke dalam.        

 

   11.       Tendangan sudut digantikan dengan sepakan ke dalam dari sebelah mana bola keluar.            

 

   12.       Sepakan gol - bola berada di atas garisan gol.    

 

   13.       Offside tidak digunapakai.

 

   14.       Saiz bola        :    Saiz 4.     

   15.       Setiap kesalahan yang melanggar undang-undang permainan tendangan hendaklah diambil dari tempat kesalahan. Gol TIDAK dikira dari tendangan ini.

   16.       Kesalahan undang-undang permainan yang menyebabkan sepakan penalti, tendangan hendaklah diambil dari     
   tanda sepak mula. Semua pemain berada 1 meter dari garisan tengah di belakang bola. Peraturan sepakan penalti digunapakai.

            SISTEM PERTANDINGAN

1.            Pertandingan dalam tiga kategori Umur 12 tahun, 11 tahun dan  10 tahun yang mengandungi 10 pasukan bagi setiap kategori Pasukan mestilah  terdiiri daripada :

                  Pusat Tunas Bola Sepak     A dan B ( 3 kategori  - 12, 11  dan 10 Tahun)

                  Sekolah jemputan                dua / tiga kategori

                  SJK Cina                              Satu / dua kategori

                  SJK Tamil                             Satu / dua kategori

                  (Lain-lain mengikut kesesuaian PPD / Daerah masing-masing)

2.         Perlawanan secara Liga satu pusingan.

3.         Mata Liga       : Menang 3 mata, seri 1 mata, kalah 0 mata.

4.         Kedudukan bagi menentukan Johan, Naib Johan, Ketiga dan Keempat liga berdasarkan mata yang tertinggi.

5.         Pasukan yang menjadi Johan Liga bagi setiap kategori layak bermain dalam sirkit peringkat negeri.

6.         Johan hingga ke 4 liga layak menerima hadiah dan sijil.

 Disediakan oleh :
Jawatankuasa Tunas Bola Sepak
Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan 2003.

atas

Carta Organisasi Peraturan/Undang-undang Perancangan Keputusan MSSK/MSSM Latihan
Senarai Kontinjen Alat/Gelanggang Borang Kejayaan Album